Gunung Baling sememangnya terkenal bukan sahaja di daerah ini tetapi seluruh Malaysia. Gunung setinggi kira-kira 450 meter ini sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan aktiviti lasak antaranya pendakian mahupun perkhemahan.
Air sungai yang mengalir di bawah kaki gunung, di samping pemandangan indah flora dan fauna pasti memberikan kedamaian kepada sesiapa yang menjejaki kaki ke daerah ini.
Mengikut sejarah, kawasan pergunungan di daerah Baling sering menjadi tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan hasil baja tahi kelawar. Kerja mencari baja ini masih diteruskan sehingga kini walaupun ia agak berisiko.
Gunung yang wujud sejak ratusan ribu tahun tahun ini turut membentuk bongkah kristal yang pastinya memukau pandangan masyarakat sehingga ada yang sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk mendapatkan batu kristal ini. Jangka masa pembentukan batu yang lama selain pencarian yang berisiko menjadikan harga batu kristal ini melambung tinggi mengikut kepada corak dan warna batu itu.
Mohd Khir Johari Mohd Zain, 47, dari Kampung Lubuk Pedati adalah pencari batu kristal di dalam Gunung Baling sejak 15 tahun dulu. Pekerjaan yang sekadar ‘suka-suka’ itu bertukar menjadi pekerjaan utama setelah mendapati batu kristal itu mempunyai keunikan tersendiri selain harga pasaran yang lumayan.
Terokai gua
Ayah kepada dua anak ini telah meneroka lebih 90 peratus lubang gua di dalam Gunung Baling untuk mencari batu kristal yang berkualiti tinggi sejak 15 tahun dulu. Menurutnya, bukan semua lubang gua mempunyai batu kristal ini berikutan jangka masanya yang lama iaitu mencecah sehingga ratusan tahun sebelum membentuk batu kristal yang cantik.
“Batu kristal ini perlu diambil dengan penuh berhati-hati kerana sedikit kerosakan pada batu kristal akan menjejaskan kualiti batu ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia bersama rakannya perlu mengambil masa sekurang-kurang sejam sehingga dua jam untuk mengeluarkan sebongkah batu kristal di dalam gunung itu.
“Hanya satu sehingga dua bongkah batu sahaja dapat diambil dalam sehari untuk mengelakkan sebarang kerosakan pada batu. Kalau kami ambil banyak, sukar untuk turunkan batu ke kaki gunung.
“Disebabkan itu, batu ini perlu diambil dalam jumlah yang kecil untuk memudahkan saya dan rakan menurunkan batu ini dengan selamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd Khir berkata, pekerjaan mencari batu ini sememangnya bahaya dan berisiko terutama batu yang berada di kawasan curam pergunungan. Sekiranya tersilap langkah, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Sebelum ini, memang terdapat kes penduduk maut akibat terjatuh dari gunung ini ketika mencari batu kristal ini.
“Alhamdulillah, setakat ini, saya belum pernah berhadapan dengan situasi cemas melainkan sakit belakang akibat menanggung batu ini,” katanya.
Sebagai ujian
Menurut Mohd Khir, batu kristal ini mempunyai harga lumayan yang mencecah ribuan ringgit hanya untuk sebongkah batu.
“Kebanyakan pembeli datang dari luar daerah ini terutama dari Pulau Pinang. Masyarakat Cina amat menyukai batu ini kerana mereka mempercayai batu kristal memberikan nasib yang baik kepada kehidupan mereka.
“Namun begitu, kebanyakan pembeli adalah mereka yang berminat dengan sifat semula jadi batu berkenaan. Namun, ia bergantung kepada setiap individu untuk menilai batu ini. Ada yang suka kerana warnanya dan ada yang suka sebab bentuknya,” kata Mohd Khir.
Pekerjaan di dalam gua mahupun hutan sering dikaitkan dengan kejadian mistik, tidak terkecuali Mohd Khir yang turut sama pernah merasai pengalaman itu.
“Bagi saya itu adalah perkara biasa. Semua pendaki gunung pasti mempunyai pengalaman sendiri. Contohnya mendengar jeritan orang di dalam gunung malah turut pernah berjumpa dengan kelibat lembaga.
“Namun, saya hanya menganggap itu sebagai ujian kerana saya percaya kepada niat iaitu hanya untuk mencari rezeki,” katanya.-Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment